Beri jawapan terbaik kepada keganasan

SATU serangan ganas berlaku pada malam tahun baharu di sebuah kelab malam di Istanbul yang mengakibatkan 39 orang terbunuh dan 65 lagi cedera. Ada kira-kira 700 orang dalam kelab malam berkenaan ketika serangan berlaku, menurut laporan. Pagi keesokannya, semua saluran berita membuat liputan serangan ganas menjijikkan itu. Tidak lama sebelum itu, Turki menghadapi dua serangan yang menyebabkan tumpahnya darah orang tidak berdosa.

Dalam serangan terbaru, dalam kalangan mereka yang terkorban termasuk pelancong asing. Pemimpin Turki menerima mesej takziah daripada pemimpin banyak pihak termasuk Russia, Iran, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Parlimen Eropah, Britain dan Perancis, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Mereka mengutuk serangan itu dan menawarkan sokongan.

Reaksi mereka amat dialu-alukan dan pada masa sama, amat penting. Bagaimanapun, bagi mereka yang hanya mengutuk serangan ganas tanpa menawarkan penyelesaian praktikal, cara itu sia-sia sahaja. Ideologi menyeleweng penyerang, sama ada komunis atau radikal, perlu ditangani bagi menghapuskan kebencian pada hati mereka.

Islam kutuk keganasan

Contohnya, mereka yang melakukan pembunuhan beramai-ramai atas nama 'Islam' sebenarnya pembunuh mengikut al-Quran. Kitab suci itu menyatakan membunuh orang tidak berdosa adalah satu kekejaman besar. Allah SWT melarang sebarang bentuk keganasan dan mengutuk orang yang melakukannya.

Kita kena sedar bahawa keganasan tidak akan terhenti selepas dikutuk pemimpin dunia atau dengan hanya berkata 'Islam agama keamanan.' Memang benar Islam adalah berasaskan al-Quran dan jika diasingkan daripada kata-kata palsu serta tafsiran menyimpang, adalah agama keamanan. Bagaimanapun, ini tidak dipersetujui golongan radikal.

Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah ini, adalah penting untuk mengemukakan fakta mengenainya kepada dunia Islam dengan mengambil bukti daripada al-Quran. Cara terbaik membebaskan masyarakat daripada falsafah radikal ini adalah dengan menggerakkan kempen sistematik dan tersusun berdasarkan al-Quran menerusi pendekatan kasih sayang.

Sememangnya satu kempen besar-besaran diperlukan untuk melenyapkan kepercayaan karut dalam dunia Islam dan masyarakatnya. Sokongan dunia Barat adalah penting, tetapi tugas terpenting perlu digalas orang Islam sendiri.

Selepas serangan di Istanbul, khususnya di media sosial, beberapa orang yang berfikiran radikal membuat kenyataan menghasut kebencian terhadap sambutan Krismas dan tahun baharu yang dijadikan alasan sebagai punca pembunuhan itu.

Namun, orang Islam juga menyambut baik detik kelahiran Nabi Isa AS. Mereka tidak rasa terganggu dengan perkara itu. Tambahan lagi, Nabi Isa AS atau 'Jesus' bagi orang Kristian, juga adalah nabi dalam Islam dan tokoh yang amat disayangi Muslim.

Ada usaha mengubah Turki

Memang diakui bahawa ada segelintir pihak yang mahu mengubah Turki supaya menjadi satu tempat berkabung dan memaksa penduduk hidup dalam suasana mundur daripada arus kemodenan, tanpa gaya hidup yang berkualiti serta hiburan.

Bagaimanapun, mereka tidak akan memberi kesan kepada Turki selagi ada dalam kalangan penduduknya yang menghargai dan melindungi tanah air hingga titisan darah terakhir. Lagipun, Turki adalah sebuah negara moden dan penduduknya sendiri menentukan cara hidup sendiri.

Sebaliknya, sudah diketahui umum bahawa pengganas mahu menimbulkan ketakutan, mematahkan semangat masyarakat dan mengganggu kehidupan harian. Mereka mahu merosakkan masyarakat dengan menimbulkan perasaan benci, taasub dan saling tidak mempercayai.

Matlamat pengganas itu akan gagal jika penduduk tidak berkabung dan berpecah-belah atau menjadi pelarian. Oleh itu, penduduk perlu berani meneruskan kehidupan mereka dan tidak bersembunyi dengan tidak keluar ke tempat awam.

Tetapi, mereka perlu berhati-hati dan ambil semua langkah perlu untuk keselamatan diri serta segera memaklumkan kepada polis setiap kali nampak sesuatu yang mencurigakan atau luar biasa. Selalunya, apa yang menggagalkan pengganas ialah sikap, semangat dan keberanian penduduk.

Jadi, semua orang bertanggungjawab mencegah keganasan. Kerajaan dan parti pembangkang patut bekerjasama, tolak perkiraan politik. Lebih penting lagi, orang awam perlu tunjuk semangat padu dan bersatu sebagai cara menyokong negara.

Adalah penting memberi respon terbaik apabila menghadapi keganasan dan membincangkan penyelesaian seperti melancarkan kempen intelektual pada peringkat nasional, bukan sekadar bercakap tanpa idea bernas. Kempen menyanggah ideologi keganasan perlu dilancar dan diperluaskan.

http://www.bharian.com.my/node/231668

2017-01-08 21:50:04
Mengenai tapak ini. | Jadikan mukadepan anda | Tambah ke pilihan anda | RSS Feed
Semua material boleh disalin, dicetak dan dikeluarkan dengan merujuk kepada laman ini.
(c) All publication rights of the personal photos of Mr. Adnan Oktar that are present in our website and in all other Harun Yahya works belong to Global Publication Ltd. Co. They cannot be used or published without prior consent even if used partially.
© 1994 Harun Yahya. Www.harunyahya.com
page_top