Sekat ideologi, bukan sekat visa

SELEPAS mengangkat sumpah jawatan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani beberapa arahan eksekutif dan salah satu daripadanya ialah menggantung visa ke atas warga tujuh negara Islam. Sekatan ini paling banyak dikritik dibandingkan arahan eksekutif lain.

Untuk menilai kebaikan langkah itu daripada perspektif Trump, adalah lebih baik menilai semula retorik beliau ketika berkempen dalam pilihan raya presiden. Beliau mengambil langkah keras itu mungkin kerana mengambil kira ancaman pengganas.

Bagaimanapun, keputusan ini mencetuskan kecaman terhadapnya di dalam AS dan negara luar. Mungkin Trump tidak mahu tarik balik janjinya ketika berkempen tetapi beliau perlu timbang kritikan yang adil dan pandangan mangsa langkahnya itu. Berpatah balik sedikit tidak bermakna beliau tidak mengotakan janji.

Sebaliknya, warga AS dan Muslim yang terjejas teruk atas arahan eksekutif itu, akan memberi kepercayaan kepadanya. Selain itu, ketika protes terhadapnya meningkat, Trump mengeluarkan kenyataan bertulis mengisytiharkan langkah itu bukan pengharaman ke atas Muslim tetapi sekatan sementara dan menyalahkan media kerana menyiarkan laporan palsu.

Trump juga menunjukkan keprihatinannya kepada mangsa perang saudara di Syria, apabila berkata: "Saya amat kasihan kepada mereka yang terbabit dalam krisis kemanusiaan di Syria. Jadi, paling pertama sejak dulu lagi ialah melindungi dan berkhidmat kepada negara dan sebagai presiden saya akan bantu mereka yang menderita.'

Meskipun beliau terus mempertahankan keputusannya, tempoh penangguhan itu agak lama untuk menunggu penyelesaian dimuktamadkan. Beliau sepatutnya meminimumkan penggantungan daripada 20 hari kepada 15 hari, sekurang-kurangnya. Malah, ancaman keganasan boleh dikurangkan dengan pemeriksaan ketat dan teratur.

Mengambil kira arahan eksekutif itu, aktiviti memproses pelarian sementara dihentikan seketika terutama melarang masuk pelarian Syria. Jadi, ia perlu dipertimbang semula kerana pelarian itu sudah pun melalui pemeriksaan ketat doktor, ahli psikologi dan polis sebelum dibenarkan masuk. Pegawai berkenaan boleh menentukan sama ada warga Syria memohon status pelarian ada hubungan dengan pertubuhan pengganas atau tidak.

Ketika memberi keterangan kepada ahli Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri bagi dewan Senat pada November 2015, seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS, Anne Richard, berkata mana-mana pelarian Syria akan diperiksa pegawai dari Pusat Antikeganasan Kebangsaan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Negara dan Pentagon.

Oleh itu, langkah sekatan sementara atau membina tembok (dalam kes Mexico) bukanlah satu cara yang berkesan untuk mematahkan keganasan. Ada orang Islam yang amat sukakan AS dan menghormati agama lain. Apa yang dunia mahukan dari AS ialah mengambil langkah wajar sambil berhati-hati menghadapi keganasan.

Jika kita ambil kira juga perangkaan keganasan di Amerika, serangan yang dilakukan oleh pelarian adalah jarang sekali berlaku. Hampir semua kematian kerana serangan imigran (98.6 peratus) berpunca daripada satu kejadian iaitu 9/11 (serangan pada 11 September 2001.

Selain itu, serangan pengganas mengakibatkan kematian oleh pelarian di AS juga amat jarang berlaku. Malah, kemungkinan secara purata seorang warga Amerika maut disebabkan serangan pengganas mengaitkan imigran, pada mana-mana tahun sekali pun adalah satu setiap 3.6 juta termasuk jika korban 9/11 diambil kira.

Oleh itu, memang wajar pihak kehakiman AS menolak arahan eksekutif Trump ini. Tambahan lagi, menurut data yang dikemukakan oleh Institut Cato, antara tahun 1975 dan 2015, tiada seorangpun warga AS maut di negara itu disebabkan serangan pengganas mana-mana daripada tujuh negara Islam yang dikenakan arahan eksekutif itu.

Saya percaya, adalah penting untuk menyebut bahawa terdapat 3.3 juta orang Islam di Amerika dan kebanyakannya berpendapatan sederhana dan berpendidikan tinggi disebabkan mereka sebahagian masyarakat Amerika juga.

Masyarakat Islam AS juga mempunyai kerjaya yang pelbagai termasuk pensyarah kolej, petugas pejabat, doktor, ahli politik dan sebagainya. Menurut Pentagon, sehingga 2012, ada 3,600 orang Islam aktif bertugas dalam tentera AS.

Jadi, daripada mengambil langkah keras seperti itu, pentadbiran AS di bawah Trump boleh menjadi lebih berkesan dalam memerangi keganasan dengan menumpukan kepada punca utamanya iaitu ideologi.

Selaras dengan matlamat ini, satu kempen intelektual sepatutnya digerakkan segera menerusi persepakatan antara pentadbiran AS dan masyarakat Islam yang jujur.

AS sepatutnya menjalin kerjasama dengan pemimpin agama Islam, tokoh akademik yang dapat menolak ideologi menyimpang pengganas selain bekerjasama dengan pihak yang percaya dengan faedah jika berbaik-baik sesama insan. Kerjasama seperti itu akan beri manfaat kepada pentadbiran Trump dan menghapuskan ancaman keganasan global.

http://www.bhplus.com.my/node/246499

2017-02-11 22:40:12
Mengenai tapak ini. | Jadikan mukadepan anda | Tambah ke pilihan anda | RSS Feed
Semua material boleh disalin, dicetak dan dikeluarkan dengan merujuk kepada laman ini.
(c) All publication rights of the personal photos of Mr. Adnan Oktar that are present in our website and in all other Harun Yahya works belong to Global Publication Ltd. Co. They cannot be used or published without prior consent even if used partially.
© 1994 Harun Yahya. Www.harunyahya.com
page_top