Perbetul cara, sikap layan gelandangan

"MENINGKATNYA langkah bersifat kekerasan ke atas golongan paling lemah dalam masyarakat adalah sesuatu yang menyedihkan berhubung sikap kita sendiri ke atas mereka.

Untuk tidur dalam keadaan terbuka adalah keadaan yang cukup menyeksakan. Kita sepatutnya membantu orang lain untuk tidak lagi hidup sebagai gelandangan, bantu membina semula hidup mereka - bukan dengan mengambil langkah mendera atau mencurah air ke arah mereka."

Petikan kata-kata di atas disuarakan oleh seorang eksekutif sebuah badan kebajikan membantu golongan gelandangan di London. Pada masa sama, luahan rasa beliau mencerminkan realiti semasa yang mengharukan. Isu gelandangan adalah satu permasalahan yang meningkat di seluruh dunia, tetapi perkara ini jarang sekali dibincangkan.

Satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi gambaran bahawa 100 juta orang berada dalam kategori itu manakala 1.6 bilion lagi menghadapi masalah mendapat kemudahan perumahan di seluruh dunia.

Cuma, mengambil kira angka gelandangan yang meningkat secara konsisten, tidaklah sukar untuk memikirkan bahawa angkanya mungkin lebih tinggi daripada itu.

Negara di mana-manapun menghadapi masalah untuk menangani masalah itu kerana ia terus meningkat tidak kira kekayaan negara berkenaan mahupun di negara miskin. Sebagai contoh, ada seramai 60,000 gelandangan di kota New York, sedangkan ramai juga di kalangan mereka yang kaya tinggal di 'Big Apple.'

Dilayan seperti penjenayah

Apa yang menggusarkan ialah budaya membenci dan tidak menyayangi semakin ketara. Ini tertera dalam layanan kepada gelandangan yang semakin kerap dilayan seperti penjenayah selain makin dilihat sebagai mereka yang wajar dijauhkan daripada dilihat orang ramai.

Di Australia, undang-undang 'move on' membenarkan pihak berkuasa 'menyuraikan' orang gelandangan kerana kehadiran mereka boleh menimbulkan keresahan kepada orang lain atau menjejaskan keseronokan mereka.

Di Paris, anggota polis dilaporkan merampas selimut gelandangan dalam cubaan mengusir mereka. Dalam erti kata lain, langkah kekerasan seperti itu semakin meningkat.

Insiden seperti ini umpama igauan buruk mengingatkan semula kita kepada kes tidak berperikemanusiaan yang menjadi sebahagian daripada berita utama. Sebagai contoh, pada musim panas lalu, ramai menonton satu rakaman menunjukkan khalayak umum mentertawakan seorang pelarian terkapai-kapai di Grand Canal, Venice, Itali, meminta tolong kerana tidak tahu berenang. Dia maut beberapa minit kemudian tanpa seorangpun cuba menyelamatkannya.

Mungkin juga kita ingat bagaimana seorang jurukamera Hungary menjatuhkan seorang pelarian yang berlari sambil memegang anaknya atau apabila polis Eropah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan cotar ke atas pelarian, sekalipun ada dalam kalangannya kanak-kanak, wanita, orang tua dan golongan yang mencari tempat perlindungan daripada ancaman ke atas keselamatan mereka.

Kita kena ingat, mereka hanya mencari tempat berlindung, makanan, keselesaan diri dan ruang peribadi ketika menghadapi ancaman termasuk penganiayaan, keganasan, eksploitasi dan penghinaan.

Ramai dalam kalangan mereka juga menghidap masalah kesihatan. Satu ancaman ke atas mereka ialah sejenis dadah baharu yang biasa digunakan, tetapi amat bahaya kerana menjadikan mereka umpama patung. Rakaman menunjukkan bagaimana kesan dadah itu ke atas penggunanya yang duduk sambil tidak bergerak, malah tidak langsung dipandang oleh orang yang lalu lalang.

Tetapi, ia tidak selalunya begitu kerana ada orang yang mengambil berat. Ramai penduduk Britain mengambil langkah menutup besi tajam (yang disifatkan langkah antigelandangan di beberapa bandar) dengan tilam dan kusyen. Di Istanbul, yang turut menghadapi masalah gelandangan, aktivis mengedarkan sup kepada golongan itu setiap malam.

Rangka pelan penyelesaian

Mungkin ada yang hairan mengapa masalah gelandangan belum dapat diselesaikan. Jadi, adalah penting untuk merangka strategi dan pelan bagi menyelesaikannya. Antara usaha paling mudah tetapi penting ke arah itu ialah mengumpul dana melalui skim cukai yang tidak membebankan orang ramai. Misalnya, caj RM1 kad kredit setiap bulan diberi kepada dana gelandangan.

Kedua, melarang mana-mana pihak memaksa sesiapapun keluar dari kediaman kecuali sudah ada tempat lain sebagai pengganti yang selamat dan baik. Kerajaan boleh guna dana gelandangan untuk beri subsidi kepada penyewa yang membantu gelandangan tinggal di tempat mereka.

Ketiga, tahap gaji minimum sepatutnya sudah mencukupi untuk membolehkan seseorang membayar sewa dan membeli makanan.

Mungkin juga bagus jika kita boleh bayangkan diri kita di tempat gelandangan. Tiada siapa mahu berada dalam keadaan itu atau dilayan dengan teruk kerana tidak ada rumah. Jadi, baik jika kita perbetulkan kesilapan kita dengan melayan mereka dengan lebih baik, lebih lembut dan secara berbudi bicara.

Membuat keputusan untuk membantu tidak semestinya perkara mudah dan boleh dilakukan tanpa masalah tetapi itulah juga sebab mengapa membantu sesuatu yang bernilai serta mulia kerana tidak semua boleh melakukannya.

https://www.bharian.com.my/node/299693

2017-07-07 18:28:47
Mengenai tapak ini. | Jadikan mukadepan anda | Tambah ke pilihan anda | RSS Feed
Semua material boleh disalin, dicetak dan dikeluarkan dengan merujuk kepada laman ini.
(c) All publication rights of the personal photos of Mr. Adnan Oktar that are present in our website and in all other Harun Yahya works belong to Global Publication Ltd. Co. They cannot be used or published without prior consent even if used partially.
© 1994 Harun Yahya. Www.harunyahya.com
page_top