Ahli Kitab ialah Rakan Yang Diamanahkan Sesama Mereka

Islam ialah agama yang penuh damai, kasih dan toleransi. Namun demikian, beberapa lingkungan pada masa kini cuba memaparkan imej yang salah berkaitan akhlak Islamik. Agama Islam memerintahkan manusia untuk mewujudkan "tempat yang aman dan sejahtera" di muka Bumi, namun kelompok tersebut  cuba menunjukkan sebaliknya seolah-olah wujud satu konflik di antara pengikut agama lain dan Islam. Sungguhpun begitu, pandangan Islam terhadap Yahudi dan Kristian yang dikenali sebagai "Ahli Kitab" di dalam Al-Quran adalah amat adil dan penuh simpati. Tuhan memberitakan hal ini di dalam Al-Quran sebagai berikut:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. (Surah Al-Mumtahanah, ayat 8)

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah Kami beriman kepada (Al-Qur'an) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri. (Surah Al-'Ankabuut, ayat 46)


Al-Quran menyatakan bahawa ada di antara Ahli Kitab yang benar-benar tulus dalam agama mereka:

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Qur'an) dan apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah, dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya disisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. (Surah Al-‘Imran, ayat 199)

... Di antaranya ada golongan yang tetap; mereka membaca ayat-ayat Allah di waktu malam, dan mereka sujud (solat). Mereka beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan menyuruh berbuat perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah, dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka itu adalah dari orang yang salih. Dan apa sahaja kebajikan mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan dihalangi (menerima pahala). Dan Allah mengetahui orang yang bertaqwa. (Surah Al-‘Imran, ayat 113-115)

Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang Yahudi, dan orang Saabiin, dan orang Nasrani sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beramal salih, maka tidaklah ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah Al-Maa’idah, ayat 69)


Dalam kitab-kitab kebenaran yang diturunkan sebagai panduan kepada manusia, sesebuah komuniti teladan diterangkan berdasarkan sikap kasih, aman, toleransi dan adil. Misalannya, Tuhan memberitahu di dalam Al-Quran bahawa Taurat diturunkan kepada bangsa Yahudi sebagai satu panduan kepada manusia:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; ditentukan hukum dengannya, Nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) bagi orang Yahudi, dan ulama-ulama mereka dan pendita-penditanya, sebab mereka diamanahkan memelihara hukum-hukum dari Kitab Allah itu, dan mereka pula menjadi penjaga dan pengawasnya. ... (Surah Al-Maa’idah, ayat 44)

Perselisihan dan konflik di antara penganut Yahudi, Kristian dan Islam yang didasari pelbagai masalah politik, prejudis, dan salah faham perlu ditamatkan. Penganut kepada ketiga-tiga agama ini mesti hidup dengan sikap persefahaman dan toleransi. Hal yang penting adalah mengetengahkan titik-titik persamaan dan bukannya perbezaan, saling bantu-membantu berbanding menimbulkan masalah, bersifat membina daripada merosak, bekerjasama daripada menghalang, berpadu daripada bercerai-berai, dan menyeru perpaduan daripada perpecahan. Tuhan menyatakan tanggungjawab golongan beriman di dalam Al-Quran sebagai berikut:

Dan orang yang kafir, setengahnya menjadi pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu tidak menjalankan (dasar bantu-membantu), nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakkan yang besar. (Surah Al-Anfaal, ayat 73)

Tuhan telah memerintahkan golongan beriman supaya menganjur dan mempertahankan kedamaian di Bumi. Dia mengutuk mereka yang mengganggu keamanan di Bumi, mengisytiharkan perang tanpa sebab yang adil (seperti melindung dan menyelamatkan diri daripada penindasan), memecah-belahkan umat manusia, dan membunuh jiwa yang tidak berdosa. Tuhan kita menitahkan kelompok yang beriman agar mamakmurkan dunia di mana semua manusia dapat hidup aman dan ianya satu daripada tanggungjawab penting untuk memastikan keamanan dan keselamatan manusia lainnya.

Manusia yang jauh daripada nilai-nilai moral agama sebenar merupakan punca kepada pelbagai perang, konflik dan semua bentuk kerosakan. Kadang-kala tafsiran menyimpang sesetengah individu yang berselindung di sebalik topeng agama dapat mempengaruhi manusia yang kurang pengetahuan tentang etika keagamaan sebenar, lalu terjerumus ke dalam tindakan yang sama sekali bertentangan dengan etika berkenaan. Perpaduan golongan beriman amat penting dalam menghadapi puak yang percaya dengan cara ganas dalam menyelesaikan perselisihan dan masalah, mereka yang menganiayai orang lain dengan cara yang kejam dan zalim.

Setiap Kristian, Muslim dan Yahudi yang beriman diwajibkan melakukan yang terbaik. Adalah sesuatu yang betul bagi Muslim, Yahudi dan Kristian yang percaya kepada Tuhan Yang Esa, yang berusaha mendapatkan keredhaan-Nya, yang berserah diri hanya kepada-Nya, yang hatinya sentiasa terikat dengan-Nya, yang sering memuji-Nya, dan yang pada dasarnya mempertahankan nilai-nilai serupa, untuk bertindak seiringan. Penganut yang ikhlas harus bersatu demi kehidupan yang berlandaskan nilai moral agama, menghalang kemusnahan yang diakibatkan oleh golongan ingkar, berjuang secara intelektual menentang ateisme dan materialisme.

Prejudis yang timbul daripada kejahilan atau provokasi penentang nilai-nilai moral agama perlu dihapuskan. Yahudi, Kristian dan Muslim harus berusaha untuk bersepakat dalam menyebarluaskan nilai-nilai moral yang baik di Bumi. Kerjasama ini mestilah dibina berlandaskan prinsip saling mengasihi, menghormati, bertoleransi, memahami, harmoni dan muafakat. Adalah menjadi satu kemestian untuk memikirkan betapa perlunya tindakan segera, dan menjauhi unsur-unsur yang mengakibatkan konflik, pertikaian dan perselisihan. Di dalam Al-Quran, seruan Muslim kepada Ahli Kitab untuk bersatu dinyatakan sebagai berikut:

Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. ... (Surah Al-‘Imraan, ayat 64)

 


2011-01-02 20:10:11

Mengenai tapak ini. | Jadikan mukadepan anda | Tambah ke pilihan anda | RSS Feed
Semua material boleh disalin, dicetak dan dikeluarkan dengan merujuk kepada laman ini.
(c) All publication rights of the personal photos of Mr. Adnan Oktar that are present in our website and in all other Harun Yahya works belong to Global Publication Ltd. Co. They cannot be used or published without prior consent even if used partially.
© 1994 Harun Yahya. Www.harunyahya.com
page_top