Mari Kita Belajar Tentang Islam
Beribadat Kepada AllahAllah, Pencipta segala apa yang ada di dalam diri kamu dan sekeliling kamu, mempunyai kekuasaan tidak terbatas. Allah menjadikan kita dan memerintahkan kita patuh kepada-Nya dan berkelakuan baik sebagaimana digambarkan di dalam Al-Quran. Apa yang Allah tuntut daripada kita ialah ibadat. Puasa, sembahyang, bersyukur kepada Allah, bersabar dan berkelakuan baik adalah beberapa contoh ibadat. Tetapi kebanyakan manusia, tidak menyedari tanggungjawab mereka, dan tidak mahu menerimanya. Disebabkan oleh kesombongan mereka, mereka mendapatinya sukar untuk taat kepada Allah. Mereka tidak mahu mendengar Kalam Allah kerana merasakan diri mereka terlalu penting. Gagal menerima Allah yang menjadikan mereka, mereka telah menderhaka terhadap-Nya. Walaupun Allah yang memberikan mereka jantung, telinga, kesihatan mereka, dan ringkasnya, semua benda yang terdapat di bumi, tetapi mereka tidak berterimakasih kepada-Nya di atas segala nikmat-nikmat ini.
Tetapi mereka akan merasa sangat kesal. Kerana kekufuran dan kesombongan mereka akan menyebabkan mereka ditimpa kesusahan di dunia dan penyesalan di hari akhirat nanti. Kekufuran mereka di dunia ini akan membawa mereka ke neraka. Sesiapa yang tidak mahu menyesal di hari kemudian dan dimasukkan ke dalam neraka, hendaklah berterima kasih kepada Allah. Allah mahu kita berterimakasih kepada-Nya dan berdoa dan menyembah-Nya sebagai balasan kepada nikmat-nikmat yang telah diberikan-Nya. Oleh itu, apabila kamu melihat kecantikan dan kesempurnaan anugerah-anugerah ini di sekeliling kamu – yang tidak mungkin dapat wujud secara kebetulan – kamu hendaklah mengingati Allah dan merasa syukur kepada-Nya. Jangan jadi seperti mereka yang gagal mengenali dan menghargai setiap nikmat yang diberikan kepada mereka. Di dalam Al-Quran, Allah memerintahkan kita menjalankan ibadat kita di samping bersyukur kepada-Nya. Mendirikan sembahyang lima waktu setiap hari, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji (di Mekah sekali seumur hidup) jika berkemampuan, adalah di antara ibadat-ibadat yang dituntut Allah daripada kita.
Bersembahyang lima kali sehari dan mengamalkan budaya sembahyang di dalam hidup kita, di dalam keluarga kita dan di dalam masyarakat kita, akan membantu kita mengenali kelemahan kita sebagai hamba di hadapan Allah. Ia adalah satu ibadat yang mesti dilakukan pada masa tertentu. Allah memberitahu kita di dalam Al-Quran bahawa ibadat-ibadat ini membantu kita menjauhi perbuatan-perbuatan keji yang tidak diredai Allah. Puasa juga salah satu bentuk ibadat yang diperintahkan di dalam Al-Quran. Pada bulan Ramadhan, Allah memerintahkan kita supaya tidak makan dan minum pada siang hari. Melaksanakan ibadat ini, akan membantu kita untuk bersabar ketika ketiadaan makanan dan minuman pada satu tempoh tertentu. Membayar zakat, dari segi lain pula, memberikan satu bahagian harta seseorang itu kepada orang-orang miskin dan memerlukan dan siapa sahaja yang layak menerimanya. Seperti ibadat lain, melaksanakannya amat penting kerana ia membantu mengikis sifat kedekut, dan berkorban itu adalah sikap yang diredai Allah. Di samping itu, membayar zakat juga mewujudkan persepakatan di dalam masyarakat dan menguatkan jiwa manusia. Berdoa Satu Jalan Mendekatkan Diri Kepada AllahAllah menekankan kepentingan doa. Allah menceritakan kepentingan doa di dalam ayat berikut:
Seperti disebutkan di dalam ayat di atas, nilai seseorang itu di hadapan Allah bergantung kepada doanya. Kerana apabila seseorang itu berdoa, dia meminta apa yang dikehendakinya daripada Allah sendiri. Allah adalah Pemilik segalanya. Allah menjadikan apa sahaja yang kita perlukan. Contohnya, makanan yang penting untuk hidup manusia. Allah menjadikan sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, lembu dan sebagainya. Allah menjadikan kedua ibu bapa kamu dan semua manusia keliling kamu. Allah Yang Maha Kuasa, menganugerahkan manusia dengan tubuh mereka, kebijaksanaan, ilmu pengetahuan, kekuatan, kesihatan dan ruang untuk bergembira.
Seperti yang dinyatakan terdahulu, Allah menjadikan semua ini sebagai nikmat anugerah kepada kita. Kita berhutang makanan yang kita makan kepada Allah. Begitu juga, kita berhutang keupayaan untuk makan makanan ini kepada Allah. Fikirkannya sejenak! Bagaimana kamu dapat mengunyah makanan kamu tanpa gigi? Bagaimana kamu hendak mencernanya tanpa perut? Apakah ertinya makanan tanpa sistem pencernaan? Kamu terpelihara dengan kehendak Allah. Kerana Allah yang memberikan semua nikmat kepada kita, kepada Allahlah tempat kita berdoa apabila kita ingin meminta sesuatu atau mendapatkan sesuatu. Oleh itu, kita hendaklah memohon apa sahaja daripada Allah. Contoh ini akan membolehkan kamu memahaminya dengan lebih baik: Kamu menekan butang untuk menyalakan lampu. Bolehkah kamu katakan butang itu yang menjadikan cahaya? Sudah tentu tidak. Butang hanyalah perantaraan, seperti juga kabel yang mengalirkan elektrik. Di dunia ini, Allah menjadikan sebab musabab untuk setiap kejadian. Dia menjadikan air. Di dalam empangan air ini mengalir melalui turbin-turbin besar, dan ia menghasilkan tenaga elektrik. Kabel mengalirkan elektrik dan akhirnya lampu menukarkan elektrik ini kepada cahaya. Tetapi sebenarnya Allahlah yang telah menjadikan cahaya. Jika Allah menghendaki, Dia boleh menjadikan elektrik tanpa sebarang sebab musabab. Tetapi Allah mahu kita menggunakan kebijaksanaan kita untuk berfikir, untuk memikirkan apa yang telah Allah jadikan dan, dengan cara ini, ia akan beriman.
Kamu memutarkan pancur apabila kamu mahukan air. Tetapi bolehkah kamu katakan paip atau pancur itu yang mewujudkan air? Sama dengan butang, pancur hanyalah perantaraan, bukan penyebab. Ini adalah pandangan yang mesti kita yakini, dan ia juga menjelaskan mengapa kita perlu berdoa. Kerana Allah menjadikan segalanya. Senarai sebab-sebab mengapa kita perlu bersyukur kepada Allah boleh dimuatkan di dalam berjuta-juta jilid buku. Kerana itulah, kewujudan manusia sekeliling kamu yang tidak mengambil berat perkara ini tidak harus menggusarkan kamu. Kegagalan mereka menggunakan kebijaksanaan mereka dan tidak mahu berfikir telah menyebabkan mereka melakukan kesalahan besar. Allah mengingatkan kita kesudahan mereka. Ganjaran pahala atau seksaan di akhirat kelak bergantung kepada bagaimana tingkah laku kita di dunia ini dan sama ada kita berusaha mendekatkan diri kepada Allah. Setiap orang akan dibalas segala perlakuannya di akhirat kelak. - Bagaimana Kita Hendak BerdoaFikirkan tentang kekuasaan dan anugerah Allah, takutkan-Nya dan memohon dengan penuh rasa rendah diri adalah antara cara untuk berdoa. Allah memberitahu kita bagaimana hendak berdoa di dalam Al-Quran.
Berdoa tidak terhad kepada tempat-tempat atau waktu tertentu. Kita boleh memikirkan Allah dan berdoa kepada-Nya bila-bila masa sahaja. Allah memerintahkan di dalam Al-Quran seperti berikut:
Allah memberikan beberapa contoh doa kepada kita di dalam Al-Quran. Sebahagiannya adalah doa-doa para nabi dan orang-orang beriman seperti berikut:
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui; "Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ‘Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.
|